Tuesday, 22 May 2012

Tak Mahu Mengantuk Semasa Belajar?

Saya tahu kenapa begitu liat menulis post ini meskipun tidak panjang mana. Memang dasar pemalas agaknya. Saya seharusnya menulis post ini Jumaat malam yang lepas namun terp[aksa ditunda kerana ada peperiksaan hari Isnin - dan sekarang hati mulai damai dengan adanya sembilan hari cuti sebelum kertas terakhir pada 30 Mei. Alhamdulilah.

Okay, apa yang nak diceritakan kali ini? Hm..Ada dua pengalaman yang mahu saya kongsikan iaitu Qiyam di Ardwick dan khutbah Jumaat di Mcdougall. Harapnya dapat menyegarkan kembali semangat dan nafsu kita semua untuk mendalami ilmu. InsyaAllah.


Qiyam di Ardwick

Jumaat lepas entah macam mana tergerak hati saya untuk menyertai Qiyam di sebuah masjid, dianjurkan oleh British Muslims di Ardwick. Memang pernah mendengar program ini sebelumnya cuma tak pernah terdetik untuk. Oh ya, walaupun namanya Qiyam tetapi program hanya berlangsung dari jam 9.15 malam sehingga 11.30 malam. Jadi tidak tidur di masjid seperti mana kebanyakan kita memahami maksud Qiyam di masjid.

Terkepit dengan peperiksaan - sesudah hari Khamis lepas, kemudian Isnin pula. Hm tak apa saya juga kepenatan belajar terlalu banyak - jadi mahu menambah ilmu di samping bersama sahabat-sahabat dari Malaysia lain untuk ke program yang diadakan sekali dalam sebulan itu.

Sesudah solat Maghrib dan Isyak, diadakan pengisian pendek selama sejam. Penyampainya seorang doktor NHS, saya lupa namanya. Berpakaian kot kemas, agaknya masih kepenatan bekerja seharian di hospital. 

Maaf atas introduction yang terlalu panjang. Apa yang mahu saya sampaikan adalah intipati pengisiannya yang saya rasa berkesan, sekurang-kurangnya untuk saya.

"Siapa di sini yang tidak pernah mendengar kisah Perang Badar?"

Semua senyap.

"Nampaknya semua tahu kisahnya. Apa tuntutan yang Rasulullah SAW kepada para tebusan?"

Ada yang cuba menjawab. Saya tahu serba sedikit tetapi tidak begitu terperinci.

"Tebusan diminta untuk mengajarkan anak orang Islam sebanyak 10 orang. Jika berjaya kemudian dia akan dilepaskan secara percuma. Di sini kita dapat lihat betapa Rasulullah mementingkan ilmu. Kenapa Rasulullah mahu melepaskan orang yang beniat membunuhnya? Bayangkan bila-bila masa sahaja tebusan tersebut boleh datang semula, mungkin setahun akan datang untuk membunuh baginda semula. Tetapi mengapa baginda melakukan demikian?"
 Hening menyelubungi masjid kecil, yang ruang solatnya saya kira hanya sebesar dua gelanggang badminton.

"Contohilah Rasulullah. Apabila nyawa diletakkan di sebelah tangan dan ilmu di sebelah lagi - dia mengutamakan ilmu."

 Saya menghadam bicara tersebut penuh berselera.

"Jadi selepas ini, kalau kita semua berasa malas untuk belajar dan mendalami ilmu - ingatlah betapa Rasulullah mementingkan ilmu dalam situasi Perang Badar. Ingat juga lima ayat pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW, semuanya berkait rapat dengan ilmu."
Tafsir surah Al-Alaq:

1. Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).
2. Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku.
3. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah.
4. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan.
5. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.  


Saya larut dalam arus muhasabah yang deras.

"Jadi harapnya selepas pengisian malam ini, kamu semua tak akan tidur dan akan terus bersemangat belajar untuk peperiksaan!" Kata penyampai dengan nada sedikit berseloroh namun ketegasan tetap terselit sedikit.

Khutbah Jumaat 

Saya menyertai solat jumaat di Mcdougall untuk sesi yang kedua (2.00 petang)- tak mahu menganggu sesi pertama yang saya kira akan penuh dengan pelajar-pelajar yang punya peperiksaan petang.

Khutbah disampaikan oleh seorang pelajar PhD yang tidak ading lagi. Memandangkan sekarang musim peperiksaan, maka tidak terkejut untuk dia menyampaikan khutbah dengan tema 'ilmu'.

Dalam ratusan katanya, saya terkesan dengan sesuatu:

"Kita mengambil mudah dalam pelajaran. Meniru sana sini, belajar ala kadar hanya dengan soalan-soalan past year dan mengharapkan untuk berjaya. Tidak berminat untuk mendalami ilmu dan segala pembelajaran hanya sekadar untuk mendapat segulung ijazah. Who are tricking? Allah?"

(Begitulah ayatnya lebih kurang, saya menambah sedikit dan menyesuaikan dengan artikel pendek ini. Harap maksudnya tidak tersasar)

Jiwa saya tersedak mendengarnya.

Kesimpulan umum

Berdasarkan kedua-dua pengalaman yang saya alami dalam satu hari yang sama (Jumaat, 18 Mei 2012), saya dapat rumuskan beberapa perkara

1) Kepentingan ilmu - ramai dari kita beranggapan bahawa kepentingan ilmu dalam Islam hanya dalam bab-bab agama (Fardhu Ain) atau hanya bab-bab lain (Fardhu Kifayah - Sains, Sastera dll). Nah mungkin ada melenting dan tidak bersetuju. Tapi tepuk dada tanya diri sendiri - mengapa kerap kali kita tertidur atau ponteng kelas akademik di universiti, namun apabila tiba program usrah dan daurah - kita begitu cergas (atau sebaliknya). Itu menunjukkan suatu ketidakseimbangan dan secara tidak langsung menampakkan kemunduran Islam di mata masyarakat dunia (atau jika di luar negara, bakal timbul persepsi buruk jika kita tidak bersemangat terutama untuk kerja berkumpulan).

2) Bawa semula kegemilangan - kemahsyuran Islam suatu masa dahulu adalah pada ilmunya. Baghdad pernah menjadi pusat ilmu terkenal dunia malahan putera-putera raja dari negara Eropah dihantar untuk belajar di Bahghdad. Ketika itu belajar di Baghdad serupa gahnya pandangan rakyat Malaysia terhadap orang yang belajar di  negara-negara barat. Mengapa terjadi sedemikian? Semuanya kerana umat Islam pada waktu itu tahu menghargai ilmu. Bagaimana dengan sekarang? Adakah sikap kita yang segan-segan dan mahu-senang itu mampu membawa status umat ke takah lebih tinggi? Hmm....

3) Niat itu mustahak -  berpandukan apa yang saya perolehi melalui khutbah Jumaat tersebut - ramai dari kita yang mengambil sikap lepas tangan dalam pelajaran. Malas, suka meniru, tidak bersemangat dan mahukan yang senang-senang sahaja - apa sebenarnya niat kita dalam mendalami ilmu? Lebih malang ada yang bersuka hati dapat meniru dalam peperiksaan - tak kisah asalkan aku mendapat markah tinggi. Caranya bermaruah atau tidak itu hal lain - yang penting aku membaca Al-Quran, solat lima waktu dan mengikuti kelas ilmu agama atau usrah. Ah, adakah hanya itu sahaja tafsiran Islam kita?

Pendek kata, tanyalah diri kita niat utama kita mendalami ilmu - adakah semata-mata kerana mahu mendapatkan first class dan bermegah dengan pangkat Dr (PhD)? Jika ya, memang wajar kita mahukan yang senang, menipu dan sebagainya. Memang wajar. Kalau mahukan keredhaan Allah dan inginkan kegemilangan umat Islam yang mendampingi ilmu - fikirkan semula!. 

Sekadar perkongsian. Jika ada apa-apa kesalahan fakta dengan artikel di atas, mohon diberitahu. Saya hanya menyampaikan apa yang saya terima dalam kedua-dua majlis ilmu. Mungkin ada kelemahan saya dalam menyampaikannya semula menerusi penulisan artikel ini.

Boleh share jika anda rasa bermanfaat untuk sekalian umat Islam. InsyaAllah.

Allah Maha Mengetahui.

Shahkang
Manchester, UK


Monday, 7 May 2012

Kata-Kata Seorang Pensyarah Saya


"Main muzik melalaikan lah! Baik tumpu sahaja bidang perubatan anda!"
"Adoi. Kenapa kena belajar Malay A1 dan TOK dalam IB?
"Kau jadi penulis buat apa? Kau bukan pelajar kejuruteraan? Relevan kah?"

Sebagai permulaan, saya terbitkan semula ungkapan-ungkapan begini. Sering kali didengari dan apa yang akan saya tulis berkait rapat dengannya walaupun mungkin tidak secara terus. 

Minggu lepas saya mendapat peluang untuk menghadiri temuduga Unikl bagi mendapat tajaan untuk peringkat PhD. Ya masih terlalu awal buat masa dan agak keliru juga kenapa nama saya dimasukkan dalam senarai. Tak apa, saya pergi juga ke temuduga itu untuk pengalaman dan mencari ilmu baru. 

Saya menyemak CV - ada satu bahagian saya letakkan sub tajuk yang khas 'Literature'. Kemudian saya berfikir, ah - adakah penglibatan aktif saya dalam dunia sastera ini relevan untuk dijadikan suatu kelebihan buat saya? Apa kaitan penulisan kreatif dengan menjadi seorang jurutera? Apakah pihak yang menemuduga akan teruja dan tertanya-tanya apabila melihat senarai aktiviti sastera, karya yang disiarkan dan hadiah yang pernah saya menangi. 

Keliru. Saya teringatkan seseorang. Pensyarah Management 3 saya iaitu Dr Paul Chan. Saya agak rapat dengannya meskipun hanya berbalas kata sekali dua dalam kelas. Saya kerap menghubunginya melalui emel dan menyibukkan diri dengan discussion blog di Blackboard. 

Terlintas di cepu ingatan - apa kata saya hubunginnya dan bertanya tentang hal ini? Dia memang kerap sekali menyemak CV pelajar dan selalunya komennya keras-keras belaka. Terkenal dengan seorang pensyarah yang sangat tegas dalam memberikan markah, dia memang seorang yang bersifat terbuka dan lantang. 

Ah, apalah agaknya katanya nanti.? Saya membayangkan:

"Sastera? Mengarut lah hang ni. Pengurusan syarikat mana nak layan sastera. Tambahan sastera Melayu pula!"
"Totally no-no!"

Seram sejuk juga membayangkan apa komennya. Jadi memberanikan diri juga untuk menghantar emel yang berbunyi lebih kurang begini:

Emel kepada Dr Chan yang saya ringkaskan dan dibahasa-Melayukan:

"Bagaimana saya boleh menggunakan kekuatan saya dalam sastera Melayu untuk temuduga? Adakah relevan untuk meletakkan sastera Melayu dalam CV saya untuk permohonan sebagai seorang jurutera? Apa kaitan sastera dengan kejuruteraan kerana saya ada mendengar di Harvard, pelajar jurusan sains tulen diwajibkan untuk mengambil sastera. Apa komen Dr dalam hal ini?"

Hantar! Kemudian dapat auto-reply yang mengatakan dia tidak berada di office. Temuduga itu esok! Tak apalah, bukan saya dambakan sangat untuk menggunakan pendapatnya untuk temuduga esok. Saya lebih mengharapkan pandangannya berkenaan apa fungsi subjek seni seperti sastera dan muzik terhadap pelajar jurusan sains tulen. Itu lebih utama, lebih-lebih lagi daripada seorang pensyarah bidang kejuruteraan sepertinya. 

Kemudian saya mendapat balas, beberapa hari kemudian:

Hi Norshah, Thanks for this message and sorry for late reply as I was travelling away on business since Monday. 
Anyway, some prestigious American Universities and even Asian Universities make it mandatory for Scientists and Engineers to take up Arts and Humanities. This makes for a more rounded individual and avoids over-specialisation. The degree is meant to provide you with both breadth and depth of academic studies anyway. 
So, yes, I would mention your award-winning pieces as a means of demonstrating there is a more interesting side to you than purely the Scientific background. 
Hope this helps.

Kata-katanya membawa saya berfikir dengan lebih jauh. Tak sangka dia membalas dengan nada positif mengatakan penglibatan saya dalam sastera merupakan sesuatu yang bermanfaat. Bukan sekadar mengarut - menulis sampah-sarap dan sebagainya. Sesuatu yang berguna rupanya. 

Daripada kata-katanya, saya meminta izin untuk mengambil ini untuk ditulis sesuatu. Dia begitu gembira apabila saya mahu berkongsi pandangan ini dengan para penulis sastera dan juga junior-junior saya di IB KMB/KMS. Mungkin dia sendiri bingung kerana ramai pelajar tidak menyukai subjek ajarannya - Management 3 yang melibatkan tulisan esei dan sudah pasti tidak ada satu calculation pun!

Jadi, apa yang mahu saya sampaikan?

1. Saya mahu menjelaskan bahawa ajaran subjek Malay A1, TOK dan sebagainya semasa menjadi pelajar IB bukanlah sia-sia dan tidak bermanfaat. Program IB sudah pun melaksanakan suatu pendekatan yang menyeluruh kepada seorang pelajar. Ya, saya sendiri bengang dengan TOK! Saya sangat bencikan esei TOK yang bercorak bukan engineering (ia melibatkan falsafah atau dengan kata lain bercorak sains sosial). Malah saya pernah mengisytiharkan bahawa assignment IB paling menyusahkan hidup adalah esei TOK (Miss Tik jangan marah ya). 
Namun sesudah tiba di bumi UK, saya. dapat rasakan kepentingan seorang jurutera/doktor untuk mengenali TOK. Ada elemen-elemen dalam TOK yang menjadikan seorang pelajar lebih bersifat kritis dan bukan semata-mata dungu dan tunduk pada teori saintifik. Apabila mula mengenali dakwah dan berhubung dengan manusia luar negara serta mengambil tahu politik Malaysia - TOK adalah kata kunci. Sudah pasti isu-isu ini tidak mampu diterjemah oleh teori-teori engineering seperi Navier Stokes mahupun teofi Castigliano!

2. Kepada mereka yang bergiat cergas dalam dunia seni di samping - muzik, nyanyian, penulisan, lukisan dan drama. Apa yang anda lakukan bukanlah sesuatu yang tidak bermanfaat. Kegiatan seni membuatkan anda menjadi manusia yang seimbang. Seharusnya itu merupakan suatu kredit berharga. Justeru jangan pernah bosan untuk mendalami seni dan menggunakannya untuk memanfaatkan kehidupan. Jangan merasakan seni itu sesuatu yang membuang masa. Apa yang harus dilakukan adalah mencari bagaimana seni itu boleh digunakan dalam kerjaya anda sebagai seorang manusia dan apa-apa sahaja. 

Saya memang sudah lama untuk bertanyakan hal 'Sastera dan Kejuruteraan' dengan Dr Paul Chan. Saya dapat rasakan dia mungkin punya sesuatu falsafah tersendiri untuk dikongsikan. Ternyata bukan sesuatu yang silap kerana pandangannya seperti selaras dengan pengalaman saya yang lain sebelum ini : 

1. Sewaktu kunjungan Prof Tariq Ramadhan ke University of Manchester - dia menyatakan ada empat jenis ilmu yang harus dikuasai umat Islam untuk maju. Dua daripada ilmu tersebut adalah Art dan Literature. Saya menjadi bingung namun tak sempat saya bertanyakan soalan kepadanya. Bagaimana Art dan Literature boleh memacu perkembangan ummah dan menjadikan umat Islam bertamadun? Saya kira jawapan daripada pensyarah saya itu ada kaitannya dengan apa yang dikatakan Prof Tariq Ramadhan. 
2. Ketika di Palembang untuk program Pertemuan Penyair Nusantara ke-5 - Sasterawan Negara Prof Muhammad Haji Salleh menyampaikan pembentangan utama program. Kata-katanya:
"Di Harvard, pelajar-pelajar dalam bidang sains seperti Biologi juga mengambil mata pelajaran sastera sebagai salah satu komponen"
Teruja dengan kenyataannya, saya bertemu Prof secara peribadi selepas majlis untuk bertanyakan lebih lanjut. 
"Apa pendapat awak?" Dia bertanya saya kembali
"Hmm mungkin menjadikan seseorang itu seimbang?" Saya membalas ringkas.
"Ya benar. Pelajar-pelajar sains tulen bukan sahaja harus mempertajamkan hal-hal saintifik tapi perlukan juga suntikan dari aspek emosi dan dalaman. Bayangkan kalau menjadi seorang jurutera tapi tidak punya perasaan dan hanya tahu bekerja seperti robot, bagaimana? Jadi kena seimbangkan." katanya
(saya mengolah sendiri ayat-ayat di atas untuk difahamkan pembaca. Saya sudah ingat-ingat lupa perbualan dengannya yang berlangsung tahun lepas) 

Kesimpulannya kepada pelajar-pelajar juruan sains tulen seperti perubatan, kejuruteraan - , jangan fikir segala subjek-subjek berbentuk sains sosial itu sesuatu beban yang tidak bermanfaat. Ya memang membosankan untuk mengenali Plato, teori Utilitarian, Jane Austen atau George Orwell. Hal ini kerana kita dibiasakan dengan fakta, dengan nombor serta simbol berbelit-belit Calculus dan lain-lain. Tidak mustahil untuk kita berasa bosan!

Namun percayalah, subjek tersebut punya fungsi tersendiri dalam menjadikan seorang manusia dan bukan robot yang hanya tahu membaham teori!

Shahkang
Manchester, UK

Mohon sahabat penulis dan guru dapat beri pandangan juga dalam hal ini di bahagian komen. Mungkin ada pautan yang boleh dikongsikan. Sila share jika rasa bermanfaat. 


=)

<photo id="1" />

Monday, 30 April 2012

Jangan Diperkuda Sikap Generalisasi - sempena BERSIH 3.0

Fenomena BERSIH semakin ligat menular dalam kalangan masyarakat – tua, muda, sokong ataupun tidak. BERSIH menjadi buah bicara hari-hari. Saya juga tidak ketinggalan. Ada sahaja masa akan bersembang dengan sahabat-sahabat dan menganalisis apa sahaja isu yang berkaitan dengan BERSIH. Suatu fenomena, pastinya!

Saya menulis bukan untuk menyatakan pandangan sokong/tidak yang sudah dikeluarkan pihak-pihak lain seperti IKRAM, mahupun MCOT (Manchester).  Menulis pandangan untuk menyokong atau menolak saya kira berbaur klise buat masa ini. Saya akan ketepikan soal menyokong atau tidak terlebih dahulu.

Pandangan negatif – menyokong BERSIH

Mengapa kita negatifkan mereka yang menyertai BERSIH? Itu sesuatu yang sering kali terjadi apabila seorang didapati menyertai demo-demo atau perarakan untuk menuntut sesuatu. Para ibu bapa misalnya akan menganggap ianya sesuatu yang membimbangkan. Rakan-rakan akan berasa bimbang melihat sahabat lain berpakaian kuning dan menunjangi acara BERSIH.

Pada pandangan saya, adalah sesuatu yang cetek ilmu untuk melabelkan mereka semua ini adalah pengkhianat negara, hanya kerana semangat mereka untuk melaungkan slogan keadilan. Atau untuk melabelkan mereka ini ahli parti pembangkang, hanya disebabkan parti-parti pembangkang menaungi acara BERSIH.

Tidak wajar dan terlalu ’kalut’, sebenarnya.

Hal ini memang sinonim dengan kita; apabila sesuatu yang dilaungkan bercanggah dengan mana-mana pihak, maka kita akan dikatakan pro kepada pihak yang menentang. Menentang dasar PAS akan dikatakan barua kerajaan, mengkritik tindakan kerajaan yang menguasai akan dikatakan taksub pembangkang. Walhal, tak semua manusia bertindak hanya atas dasar ’aku hijau’ atau ’aku biru’.

Begitu mudah generalisasi kita, bukan?

Saya percaya ramai dari kalangan rakyat Malaysia terutamanya anak muda mahukan ilmu diangkat melebihi parti-parti politik. Hal ini dapat ditunjukkan dengan sambutan hangat debat Rafizi-KJ yang berlangsung di London baru-baru ini. Juga debat Ambiga-KJ beberapa hari lepas dan Rafizi-KJ (sekali lagi) berkenaan PTPTN yang akan berlangsung nanti. Di United Kingdom sendiri, tidak kurang ramai yang menyertai bila ada majlis ilmu tidak kira ianya diadakan oleh pihak kerajaan ataupun pembangkang – asalkan ianya ilmu. Ya, anak muda dahagakan ilmu dan kebenaran pastinya!

Justeru mengatakan menyokong BERSIH itu bermakna menyokong pembangkang adalah sesuatu yang tidak wajar. Ramai daripada mereka meletakkan keadilan di atas segala-galanya. Contohnya, samalah seperti anda mengatakan mereka yang menyertai Kempen Selamatkan Kucing Dunia sebagai agenda pembangkang hanya kerana parti pembangkang menganjurkan (saya cuba mereka-reka nama event untuk contoh). Walhal yang menyertainya adalah para pencinta kucing belaka tanpa menghiraukan aspek politiknya!

Pandangan negatif – tidak menyokong BERSIH

Satu golongan lain yang menjadi mangsa generalisasi adalah mereka yang tidak menyokong BERSIH. Maka segala kata akan dihamburkan kepada golongan sebegini: anti keadilan, pengecut, penyokong kerajaan dan sebagainya. Apakah sebenarnya yang membuatkan kita begitu mudah menuduh sebegitu?

Pada pendapat saya, tak semua orang yang tidak menyokong itu maksudnya dia seorang yang kejam. Atau seseorang yang mahukan rasuah berleluasa dan sebagainya.  Tidak juga mereka tidak cakna dengan hal masyarakat. Saya tidak menolak kemungkinan mungkin sebahagian mereka bersikap sebegitu, cumanya untuk menggunakan BERSIH sebagai satu-satunya INDIKATOR untuk menuduh adalah sesuatu yang tidak wajar.  Mungkin dia menyokong tuntutan tetapi tidak pada perlaksanaan, atau dia tidak menyokong kerana ada hujah kukuh yang lain. Banyak keadaan-keadaan kompleks yang tak mampu kita fikirkan sekaligus. Setiap orang punya kekangan dan halangan tersendiri yang tidak pernah langsung terlintas di pentas akal kita. Mungkin apabila kita ketahui sebab-sebab mereka tidak menyokong atau tidak hadir ke BERSIH maka kita akan berkata:

"Ya Allah, rupanya macam tu! Barulah aku faham. Tak sangka!”.

Bukti kesilapan sebegini sudah banyak. Salah satunya adalah kes hangat video ’Anak Derhaka Tinggal Emak di Hotel’ yang pernah menggegar dinding-dinding Facebook dan Twitter beberapa bulan lepas. Hamburan caci maki dilepaskan namun pada akhirnya – ternyata anak tersebut punya sebab tersendiri. Pada masa itu ramai dari kita (termasuk saya) yang menyesali atas tindakan ’serbu tembok’ yang melulu.

Tidak mustahil tanggapan buruk tersebut boleh berulang, dalam kes menyokong/tidak menyokong BERSIH ataupun kes-kes lain.

Masalah kita?


Mengapa kita begitu dangkal dan lekas melemparkan tuduhan ? Jawapannya adalah kita cenderung untuk hidup dalam generalisasi yang begitu mudah. Kita malas untuk berfikir. Segan untuk keluar daripada kepompong keselesaan.

Janganlah kita menjadi seperti manusia dalam gua, seperti yang dikhabarkan Plato menerusi Allegory of The Cave.

Manusia di dalam gua yang dirantai lehernya sejak lahir hanya akan memahami realiti menerusi bayang-bayang. Baginya, segala bayang dan bunyi bergema dalam gua adalah realiti. Sehinggakan pada suatu masa ada yang memberitahu

”Hei! Di luar sana adalah realiti sebenar! Apa yang kamu perhatikan selama ini hanya bayang-bayang."

Ya pasti, dia suka untuk mempercayai realiti tersebut! Masakan dia mahu mempercayai kalau semenjak lahir dia hanya menatap bayang-bayang di dinding gua?

Dalam hal BERSIH mahupun politik, saya mengaitkan hal ’manusia dalam gua’ ini seperti mereka yang hanya bergantung pada suatu sumber dan pemikiran tanpa ada usaha untuk mengenali yang lain. Hanya membaca akhbar A, mendengar celoteh manusia A, membaca blog penyokong kuat A dan sebagainya. Dari sini boleh terjadinya sikap generalisasi, kerana kita tidak didedah dengan seribu macam pandangan lain yang bersepah di dunia.

Maka?


Ringkasnya, tidak harus kita amalkan sifat generalisasi yang langsung tidak memberi apa-apa manfaat. Malahan sikap melabel manusia berdasarkan bukti yang kontot boleh menimbulkan fitnah dan ketidakadilan. Ya, kita mampu menegakkan apa jua pandangan kita namun untuk melabel manusia semudah Alif Ba Ta itu saya kira bukanlah kaedah yang tepat.

Dalam masa memBERSIHKAN versi tiga perpuluhan kosong, jangan lupa BERSIHKAN sikap kita. Pasca BERSIH harus sama disertai perubahan cara berfikir dan tidak semata-mata untuk menuntut keadilan yang rakyat Malaysia mahukan.



Sekadar pandangan singkat. Kongsikan/share jika anda merasakan ia mampu menghalang manusia daripada terjebak dengan generalisasi yang melampau.

p/s: Saya tak pasti generalisasi ada atau tidak dalam Kamus Dewan. Maksud generalisasi pada saya adalah 'membuat andaian/tekaan berdasarkan bukti yang pendek atau umum'.


Untuk pemahaman lanjut mengenai Plato: Allegory of the Cave, boleh layari pautan ini:

http://www.youtube.com/watch?v=UQfRdl3GTw4

-
Shahkang
Manchester, UK

Saturday, 7 April 2012

Cerpen Dahulu Kala: 2008

Salah satu perkara yang menyeronokkan adalah mengimbau kebodohan masa lalu. Nikmat? Pastinya!

Cerpen di bawah ini saya tulis tahun 2008. Waktu di KMB. Bila baca saya ketawa berdekah-dekah kerana tak sangka saya pernah menulis sesuatu yang seperti ini. Cepat masa berlalu. Dulu zaman menulis ini, zaman tengah terjatuh suka pada seorang gadis yang Solehah jadi terfikirkan beberapa persoalan di bawah.

"Ëh bagaimana ya kalau seorang yang kurang pandai agama ingin memikat seorang yang beriman. Bagaimana si gadis tahu keimanan seseorang lelaki yang meminatinya? Adakah seseorang yang berada di luar usrah itu tidak beriman? Atau hanya mereka yang selalu berjemaah di masjid, menulis sesuatu yang Islamik itu dikira sebagai alim?"

Begitulah, persoalan yang timbul di minda saya ketika tahun 2008. Zaman muda dahulu. Sekarang gadis itu pun dah lepas entah ke mana. 

Maka persoalan di atas mencetuskan idea untuk saya lahirkan watak Hamid dan Dalila. Penggunaan nama watak Dalila ada yang menggosipkan saya dengan seorang sahabat. Hari ini (selepas hampir empat tahun) saya jelaskan bahawa saya dan sahabat itu tidak punya apa-apa hubungan pun. Cuma saya guna namanya kerana dia antara orang yang mula-mula membakar semangat saya untuk menulis cerpen. 

Cerpen ini merupakan antara cerpen pertama saya. Memang lewah, bosan, mengarut, cinta dan sampah! Cuma mesejnya itu, ada insyaAllah.

Siapa nak ambil bubuh di mana-mana atau share silakan lah. 


Cinta Seorang Pemuda
Oleh Shahkang


“Aduh, mana dia ni!?”

Hamid mengeluh panjang sebelum menghela nafasnya dengan sekuat-kuat - tertekan kerana orang yang dinantikan belum kelihatan kelibatnya. Dia mengibas-ngibas lantai simen kelabu tempat dia memacakkan kakinya dengan suratkhabar yang baru dibeli dan menjelepokkan tubuhnya dengan selesa. Matanya kadang-kala mengerling jam dinding plastik berdekatan pintu utama masjid. Sinar cahaya semakin membalam menanda tirai senja mulai tersingkap menggantikan redup petang.

 “Sembahyang Asar apa lama sangat ni,” katanya sambil membuka helaian demi helaian suratkhabar lusuh itu.

Srett…!

 Kedengaran seretan pintu kaca masjid itu bergelongsor dan Hamid bingkas bangun dan  menepuk-nepuknya punggung teposnya untuk membersihkan habuk. Cuka wajahnya seolah-olah dibilas dengan segelen manisan setelah melihat Dalila rakan sekuliahnya yang dinanti sejak sejam yang lalu telah muncul. Hamid melangkah mendekati sahabatnya bersama degupan jantung yang mula mengatur rentak pantas.

“Dal!” “Assalamualaikum, Hamid! Hah, ada apa ni?”

“Err. Walaikumsalam” balas Hamid dengan sekuntum senyuman kelat. Merah padam wajah cerahnya itu dek lupa memberi salam.

“Saya nak pinjam nota kuliah Dr. Fred tadi, saya duduk di belakang tak nampak tulisan kenitnya tu, boleh kan?” sambungnya.

 “Boleh saja. Semangat betul awak ni, Mid. Sanggup tunggu saya untuk sekeping nota comot ni. Maaflah lambat, tadi saya ada usrah,“ Dalila mengambil beg sandangnya dan membelek-belek kepingan kertas di dalam fail poketnya. Hamid masih kekal dengan sengihannya. Bukanlah semangat belajar yang mendorongnya tetapi ada niat lain yang telah disisipkan bersama. Dalila menghulur sekeping kertas biru kumal yang telah dicoret pelbagai persamaan dan rumus matematik yang berselirat di atasnya dengan rencaman warna pen yang menarik.

“Kalau boleh pulangkan esok sebab saya nak study untuk kuiz rabu depan. Eh, saya dah lewat nak ke majlis iftar! Dah hampir waktu maghrib ni. Marilah pergi sekali kalau awak ada kelapangan,”

 “Tak apalah, selamat berbuka!” Terasa tertampar wajah Hamid apabila mengimbau kali terakhir dia berpuasa sunat semasa di sekolah berasama penuh empat tahun dahulu. Itupun kerana sekolah mewajibkan pelajar berpuasa sempena hari Nisfu Syaaban. Kalau tidak memang mustahil untuk dia menahan lapar dan dahaga untuk suatu ibadah yang hukumnya tidak wajib.

“Kalau begitu tak apalah. Saya nak pergi dahulu nanti lambat pula, assalamualaikum!” Dalila terus berlalu dan melintas jalan untuk ke perhentian bas di hadapan masjid untuk menyertai puluhan pekerja pejabat yang sedang menanti bas.

Di celah-celah kelompok manusia terdapat kerusi yang sudah penuh dilabuh orang. Dalila berdiri sambil menyelak-nyelak naskhah Al-Quran yang sebesar tapak tangannya sebelum berhenti di satu muka surat dan memulakan pembacaan dengan perlahan. Mereka yang berada di situ sekali-sekala menlirik ke arah gadis bertudung hijau cerah itu. Mereka kagum dengan kesanggupannya membaca kitab Allah itu walaupun penumpang lain sibuk mengibaskan diri sendiri kerana kepanasan akibat angin yang tidak memuput seperti selalu. Kekhusyukannya langsung tidak tercela walaupun sesaga.

Hamid mengamati gadis idamannya itu sambil berjalan menuju ke wakaf berhadapan dengan masjid tempat dia meletakkan motosikalnya. Tidak terlepas sesaat pun segala perlakuan Dalila yang betul-betul memikat hatinya, malah mungkin ratusan kaum Adam yang lain. Sekujur tubuhnya itu sentiasa dibaluti lapisan kain polos yang berlapis-lapis – menutup segala aset seorang wanita yang mampu membuaskan nafsu lelaki. Disulam pula lembar-lembar benang keimanan di segenap tubuhnya bersama benih-benih ketaqwaan yang sentiasa bercambah dari pancaran wajahnya yang selalu tenang itu. Tampak berbeza benar dengan rakan wanita Hamid yang lain. Mungkin itulah yang merasuk Hamid untuk mencintai Dalila walaupun ungkapan rasa hati belum terpacul dari mulutnya.

“Berpeleseran lelaki dan perempuan hukumnya haram, melainkan setelah diijabkabulkan melalui ikatan suci pernikahan. Firman Allah melalui surah Al-Isra’ ayat ke-32 yang bermaksud, janganlah kamu menghampiri zina. Ingatlah kawan-kawan, berpasangan antara kita secara haram kadang-kala boleh mengakibatkan kita terlangkah setapak ke arah zina,” Hamid teringatkan pembentangan Dalila dalam kelas agama Ustaz Ismail bulan lepas. Seluruh kuliah diselubungi hening mendengar pentarbiahan Dalila menerusi petah kata-katanya membaca maksud ayat Al-Quran dari surah Al-Isra’ itu.

Selepas itu, makin kurang rakan sekuliah mereka yang berlagak sepeti belangkas ke hulu ke hilir menayangkan hubungan haram mereka itu. Kelibat manusia bertenggek bersama angin asmara mereka di sudut-sudut sunyi kawasan kolej juga kian susut. Dalila amat menitikberat soal pergaulannya dengan lelaki dan kerana itulah Hamid terpaksa mengatur langkah berhati-hati dalam memenangi zabarjad hatinya itu. Hamid tersentak daripada lamunan singkatnya. Tatkala azan Maghrib berkumandang dia terus memecut motosikalnya meninggalkan asap kelabu motosikalnya yang menggejuju dan menodai ruang udara masjid itu. Tidak terlintas langsung di hatinya untuk bersama-sama bersolat jemaah.


Suasana blok kediaman lelaki seperti malam-malam biasa. Kadang kala kedengaran nyanyian sumbang pelajar bersama petikan gitar melulu tanpa irama yang teratur dan ada juga penghuni yang diselubungi hening bersama lambakan tugasan yang perlu segera disiapkan. Hamid dan Kamarul, rakan sebiliknya membisu sahaja sambil jari-jemari masing-masing melekap di kekunci computer serta melantun-lantun untuk menyiapkan tugasan mereka. Hamid merenggang-renggang lengannya yang berkerangkau dengan urat mudanya itu. Tubuhnya yang kurus kering itu dihempas ke tilam bujangnya sambil bantal menjadi pelabuhan kepalanya yang sudah disebui kira-kira kalkulus yang menyerabutkan jiwa.

Sesekali dia mengeluh berat. “Kau agak Dalila tu layak tak untuk aku?” suara serak Hamid memecah keheningan bilik itu. Kamarul yang sedang asyik meneliti hasil kerjanya di skrin komputer bimbitnya sedikit terkejut..

“Kau lelaki dan dia perempuan. Apa masalahnya?” katanya berseloroh sebelum menyambung semula pengamatannya kepada skrin terang-benderang itu.

“Ish, ke situ pula kau ni! Maksud aku dia tu warak macam ustazah. Aku ni? Wirid lepas solat pun aku tak terhafal kau tahu? Yang lain tu jangan ditanyalah,” fikiran Hamid mula melayang mencari kekurangan dirinya. Memang berbeza benar dirinya dengan pujaan hatinya itu. Dalila merupakan seorang muhsinat bernadikan mujahadah pejuang sejati. Muraqabahnya sepanjang waktu bagaikan kesetiaan langit menemani bumi. Sifat mahmudahnya? Ah, hingga ke hujung dunia pun sukar diganti! Hamid apa yang ada?

Kamarul tersenyum tanda mengerti persoalan yang menyerbu kotak fikiran sahabatnya itu. “Aku rasa kau patut berubah, Mid. Kau tu pipit sahaja tapi berkehendakkan si helang. Dalila tu mesti kerkehendakkan muslimin yang dapat membimbingnya ke arah jalan yang diredhai Allah. Kalau macam perangai kau sekarang, alamatnya masuk longkanglah!” Kamarul tergelak sedikit bersama tegurannya yang berbaur sinis itu. Ungkapan yang cukup untuk menghiris kalbu Hamid menjadi jalur-jalur keinsafan. Hamid sedar yang dia tidak layak untuk meniarap sama tinggi dengan Dalila, apatah lagi hendak duduk atau berdiri.

“Apa yang patut aku buat?” getus rasa hatinya yang disergah perasaan seribu resah. Dia tidak mahu kehilangan nilam hatinya yang sudah lama ingin ditawannya itu.


Suasana masjid sepi tanpa pengunjung. Matahari baru sahaja naik segalah dan air embun pun masih lagi segar menempek di pohon semalu di taman perkarangan masjid. Hanya Hamid dan beberapa ahli surau menapak masuk ke masjid untuk menunaikan solat sunat duha. Hamid mengalirkan air ke celah-celah jari kakinya sambil menggosok-gosok sebarang kotoran yang menghalang wuduknya daripada sempurna. Dia kemudiannya melaksanakan solat sunat yang sangat besar fadhilatnya itu secara berseorangan di satu sudut sunyi masjid yang mampu mendamaikan hatinya serta menambah kekhusyukannya.


Setelah selesai berdoa kepada Allah Rabbuljalil, dia teringatkan Dalila. Lantas dia menderaskan langkahnya bagai lipas kudung menuju ke tangga surau. Ah, sandal biru kepunyaan gadis itu masih di situ! Dia tersenyum sendirian dan sengaja melambatkan pemakaian kasutnya sambil membelek-belek telefon bimbitnya kononnya seperti membalas mesej. Hampir dua hari tidak menatap wajah puteri kesayangannya itu. Kesatuan rasa cinta dan rindu telah meratus gila dari perdu hati terunanya itu.  Suara Dalila yang kedengaran tidak jelas akibat dibatasi pintu kaca itu sedikit menjompakkan keriangan hatinya.. Gementar jiwanya menjalar hingga ke seluruh badan. Bergetar tanpa disedari sesiapa pun. Dalila dan rakan usrahnya, Yasmin mula mendekati tangga surau untuk memakai kasut mereka sebelum berjalan menuju ke bilik kuliah masing-masing.

 “Eh, Hamid. Dah solat duha?” Dalila sedikit terperanjat. Hamid menguntumnya senyuman yang tidak putus-putus kepada Dalila. Dia pasti nada terkejut itu akibat perubahan dirinya yang secara tiba-tiba itu.

“Sudah. Tadi pagi saya ada usrah dengan Abang Man. Pelajar tahun akhir perubatan tu. Menarik juga berbincang mengenai kes murtad tadi,” jelasnya dengan sedikit rasa bangga. Harapannya agar Dalila menyedari sesuatu yang berlainan dalam dirinya. Jika dahulu waktu rehat paginya dipenuhi dengan derai tawa bersama rakan di kafeteria, kini dia beralih kepada program agama yang membina jati diri dan ukhwah sesama pelajar Islam di universitinya. Tiada lagi bayangannya berpeleseran bersama rakan sekuliahnya dengan motosikal berkuasa tinggi dan deraman enjin yang membingitkan.

Dia benar-benar telah berubah demi kasihnya kepada Dalila yang tudungnya melabuh hingga ke punggung itu. “Oh, baguslah begitu. Tak tahu pula awak dah sertai usrah sekarang. InsyaAllah mudah-mudahan banyak lagi rakan kita akan mengikut jejak langkah awak ni,” kata Dalila sambil tangannya melambai ke arah Yasmin yang sudah beberapa langkah dari situ.

“Hendaknya begitulah. Dah lewat ni, jom ke kelas nanti tak dapat duduk barisan depan. Jenuh kena jegil biji mata nak menyalin nota Dr. Fred,” cadang Hamid. Mereka bergegas meninggalkan tangga masjid itu apabila teringatkan betapa halusnya tulisan professor subjek kalkulus mereka itu. Dalila terus meninggalkannya berseorangan dan tidak menunggu Hamid walaupun mereka menuju arah yang sama, dewan kuliah yang sama. Hamid yang pada mulanya terkedu dengan perbuatan rakannya itu mula memahami prinsip gadis itu - amat menitik berat soal pergaulan dengan lelaki. Walaupun sekelumit rasa terkilan mula terpancar dari raut wajahnya, tapi meluap-luap juga rasa kagumnya kepada rakan sekuliahnya itu. Dalila bukanlah gadis murahan seperti Emi dan Hazirah yang sangat mudah menerima umpanan lelaki termasuk dirinya untuk keluar berhiburan hingga fajar Subuh muncul di kaki langit sebelah timur. Hamid pasti muslimah pilihannya kali ini tidak silap seperti sebelumnya dan mampu menjadi seorang teman hidup yang setia hinggalah nafas terakhirnya.


Tamat sahaja kelas dia terus bergegas ke masjid universiti yang sepenanak nasi lamanya berjalan kaki dari bangunan akademik untuk menunaikan solat Zohor berjemaah. Sekitar jam dua petang pula dia dijemput untuk menyertai satu simposium akhlak Islamiah dan sudah pasti dia tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu yang membawa dirinya lebih dekat dengan Dalila. Gembiranya bukan kepalang melihat gadis berkening rimbun dan berdahi licin itu bersama-sama dengannya dalam masjid itu. Bunga kasihnya bertambah mekar menjernihkan sinar wajahnya yang sudah sedia tampan itu bersama gelojak rasa cinta yang tidak pernah menjengah atmanya sebelum ini.

Betapa bahagianya Hamid. Dalila pula berkali-kali memanjat kesyukuran kepada-Nya. Kadang-kala tidak percaya akan perubahan mendadak yang berlaku dalam diri Hamid. Setiap kali terpandang Hamid dalam majlis-majlis agama, dia hanya menghadiahkan senyuman manisnya sebagai tanda ukhwah sesama saudara seagama.. Hatinya tidak pernah terdetik walau sekumin rasa cinta pada sahabatnya itu. Buah-buah sayang yang ranum terhadap Hamid juga hanyalah sebagai seorang sahabat seperjuangan dalam lapangan yang sama. Tidak lebih dari itu.


Sepurnama sudah perubahan dalam diri Hamid. Dia begitu selesa dengan kehidupan barunya sebagai seorang yang sering menzahirkan diri di rumah Allah. Seperti hari-hari biasa, dia menunggu Dalila di tangga surau tempat mereka menyimpan kasut. Dia didatangi Abang Man yang kebetulan sering menggunakan tangga yang sama.

“Mid, kalau petang Ahad minggu depan ada masa lapang, datanglah sini. Ada majlis akad nikah dan jamuan ringan sikit. Pelajar universiti kita yang bernikah,” kata Abang Man.

“Oh, siapa? Saya kenal?” soal Hamid. Sebelum ini memang berjabu pasangan melangsungkan majlis ijab kabul mereka di situ yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar universiti dan rakan-rakan Hamid juga.

“Dalila dan Fazrul. Rasanya Dalila tu budak kejuruteraan macam awak juga. Datanglah kalau tak keberatan,” kata Abang Man sambil berlalu pergi. Berderau darah Hamid mendengar butir-butir kata yang terakhir itu bersama mulutnya yang terlopong luas. Detak jantungnya yang tenang tadi tiba-tiba bagai direnggut lintasan halilintar. Resah kian memayungi perasaannya.

“Dalila hendak berkahwin? Dengan Fazrul? Fazrul tahfiz Al-Quran yang satu kumpulan usrah dengan aku tu?”  dia berbicara sendirian. Dia teringatkan perihal Fazrul, seorang qari yang terkenal dengan alunan merdu suaranya yang serak parau itu sering mendendangkan ayat-ayat Al-Quran di masjid atau majlis-majlis rasmi universiti.

Hamid mula terasa betapa ketara perbezaan dirinya dan Fazrul sama seperti dirinya dan Dalila. Kalau bersama dengan Fazrul dalam sesi usrah, dia sering saja membungkam bisu dan hanya menadah telinganya mendengar hujah-hujah Fazrul yang bernas diselitkan pula dengan hadis-hadis atau potongan ayat Al-Quran yang sudah dikhatamnya berpuluh kali. Hamid berasa dirinya sudah gagal dalam memenangi hati Dalila. Masakan helang boleh disamakan dengan pipit. Sampai bila-bila pun tidak akan sama. Kamarul mula menyedari perubahan Hamid yang kembali kepada perangai lamanya. Mashaf Uthmani yang sering digunakan Hamid untuk membaca surah Al-Mulk setiap malam sebelum melelapkan mata kini disawangi habuk di atas almari. Kelibat motosikalnya memasuki pintu pagar masjid dan memarkir di hadapan tangga surau kegemarannya juga tidak dapat dilihat lagi.

 “Kau berubah selama ini hanya kerana Dalila? Bukan kerana Allah?” tanya Kamarul yang benar-benar dirundung rasa kecewa ekoran perbuatan rakannya itu. Hamid tetap membisu bersama kolam air matanya. Baginya tiada apa lagi perlu dikejar. Permata idamannya sudah dikebas orang lain yang lebih layak dan berhak. Kamarul tercengang seketika melihat fiil rakannya yang sudah dikenali sejak dua tahun ini. Hamid tidak pernah bersikap sebegini. Kalau meraung kesedihan sekalipun, Hamid akan pulih setelah beberapa hari. Kini sudah hampir seminggu dia hanyut dalam lautan kehampaannya itu. Selaksa tugasan yang diberikan pensyarah langsung tidak diendahkan apatah lagi hendak menyelak buku kalkulus atau kimia yang setebal kira-kira dua inci itu.

Dalila turut sama merasai kehilangan Hamid. Pemuda itu tidak hadir ke kelas kuliah apatah lagi untuk bertemunya di tangga masjid seperti selalu. Linangan air mata jernih muslimah itu membasahi kain tudungnya apabila Kamarul menceritakan kisah sebenar Hamid kepadanya. Dalila kecewa kerana Hamid bukanlah benar-benar mentaslimkan diri kepada Allah Rabbulalamin seperti yang disangkanya. Sebaliknya murad Hamid selama ini hanya kerana dia, seorang hamba Allah yang hanya mengabdikan diri kepada-Nya dan tidak mempunyai apa-apa keistimewaan mahupun mukjizat seperti mana yang dikurniakan-Nya kepada para nabi dan rasul. Dia tidak mampu berbuat apa-apa melainkan mengangkat tangan dan berdoa kepada Allah agar Hamid diberi musaadah untuk dipimpin semula ke jalan yang benar.


Hamid cuba mengagahkan dirinya ke kuliah setelah seminggu berkurung di hostelnya dengan harapan tidak bertembung dengan Dalila seperti sebelum-sebelum ini. Dia mengerling sekitar biliknya mencari buku-buku notanya yang sudah hampir seminggu tidak dijenguk. Tiba-tiba, dia terlihat sepucuk surat berwarna merah jambu yang terdapat di atas mejanya. Perlahan-lahan dia menarik keluar isi surat dan tangannya terketar-ketar setelah nama Dalila terpampang sebagai penukil di sampul surat.


Assalamualaikum Hamid, Berubahlah kerana Allah Azzawajalla. Bukan kerana diri yang hina ini. Diri ini tidak mampu menyelamatkanmu dari kepanasan api neraka atau raunganmu di dalam kubur kelak. Renungkanlah firman Allah menerusi surah Al-An’am, ayat ke-162 yang maksudnya segala perbuatan kita sebagai hambanya di muka bumi ciptaan-Nya ini hendaklah semata-mata kerana-Nya, tuhan yang Maha Esa. Hamid, ingatlah bahawa kepada-Nya kita berserah dan kepada-Nya juga kita meminta pertolongan. Diri ini berharap Hamid akan bertemu gadis yang lebih layak untukmu kelak. InsyaAllah.

Sahabatmu, Dalila

Rasa malunya kepada Allah memuncak. Tasik bening yang bertakung di matanya mengalir lagi. Dia teringatkan ayat surah itu yang pernah dibincangkan dalam usrah yang dikendalikan oleh Abang Man. Dia sedar selama ini dirinya dihasut syaitan laknatullah untuk mengejar pasangan hidupnya, bukannya rahmat dan keredhaan Allah yang menjamin kehidupan ukhrawi dan duniawi. Air mata yang menuruni pipinya bertambah deras mengimbau kembali bagaimana dia sanggup menggunakan ibadah hanya untuk berada setaraf dengan Dalila.

Dia mulai sedar selama ini dia hanya termakan bisikan syaitan yang telah memesongkan niatnya dalam melaksanakan ibadah kepada Allah.

“Terima kasih Dalila. Semoga bahagia di samping suami tercinta,” bisik hatinya.

Dia segera menyentengkan lengan bajunya dan menuju ke tandas untuk mengambil wuduk bagi menyempurnakan taubat nasuhanya kepada Allah Rabbulghafur dengan solat sunat sebanyak dua rakaat.

Friday, 16 March 2012

AWAS, pelingkup cuti! - Sempena Easter Break

Assalamualaikum,
Sudah lama tak menulis sesuatu berbentuk guide. Rasanya kali terakhir tahun 2008, waktu giat melayan pertanyaan kawan-kawan yang nak memasuki KMB. Selepas itu dah senyap daripada gelanggang merapu dan banyak menulis hal-hal yang kononnya serius sahaja. Sekarang sedang melepak di sekolah sambil menanti waktu Asar, maka aku ringankan tangan untuk menulis!

Pengenalan


Musim sejuk yang lepas, ada terdengar seorang dua sahabat terkena kejadian malang di tempat percutian. Memang sudah sikap wartawan atau penulis agaknya, saya pun duduk bersembang dengan salah seorang yang terlibat (jumpa di tengah jalan, saya pun sedang ke tempat lain tapi terberhenti kira-kira 10 minit untuk mengumpul maklumat):

Sahabat: Begitulah ceritanya (tamat penceritaan)

Saya: Ish, sama macam kisah seorang sahabat aku yang lain! Adoi, aku rasa macam nak tulis blog atau artikel tentang ni. Supaya orang boleh tahu kisah-kisah apa yang dah jadi.

Sahabat: Ya aku sokong. Tulislah!

Maka, begitulah sebab saya ingin menulis artikel atau pesanan ini yang saya beri tajuk 'AWAS, pelingkup cuti!' bersempena dengan Easter Break yang akan menjelang (atau mungkin ada yang sudah bermula cuti?)

Banyak kisah yang saya perolehi. Saya memang jenis gemar bersembang dan mengutip kisah-kisah sensasi. Bukan untuk diporak-perandakan menjadi gosip liar, tapi saya mahu jadikannya sebagai pedoman. Bila sebut sahaja mengenai kisah sahabat atau diri sendiri melancong - akan terkutiplah pengalaman-pengalaman pahit yang berlaku - indisen kecurian yang paling kerap terjadi.

Yang menarik, semua kejadian ini berulang dengan cara dan modus operandi yang hampir sama! Justeru, agak ralat sebenarnya kalau ada kawan-kawan kita yang terkena, dan sesudah itu kita berkata:

"Aduh, aku patut cerita kat kau kisah aku di Barcelona dulu! Kalau tak, mesti tak jadi begini!"

Menyesal? Tiada guna. Memang itu takdir tapi apa salahnya kita berikhtiar untuk menjadikan percutian kita berlangsung dengan baik dan sempurna.

InsyaAllah, saya akan kongsikan kisah-kisah yang telah saya kumpul. Ada juga kisah yang melibatkan diri saya. Ada yang melibatkan kawan kepada kawan saya dan sebagainya. 

Siapa yang terlibat, itu bukan pokok persoalan; yang penting adalah pengalaman tersebut disampaikan dan sahabat sekalian (termasuk saya) mengambil pengajaran dan menjadikannya satu panduan.

Pesanan: Saya merahsiakan siapa yang terlibat dalam hal ini untuk mengelakkan sebarang ketidakselesaan. Saya tidak berniat untuk sebut sesiapa. mahu menjadikan kisah ini sebagai tauladan kita bersama semata-mata.


KES PERTAMA

Jenis: Kecurian kamera/passport
Lokasi: Di suatu pantai, Sepanyol

Cerita: Sekumpulan sahabat sedang melepak-lepak di tepi pantai untuk mengambil gambar. Ada yang pergi ke gigi air dan mencecah kaki ke ombak. Seorang menunggu beg yang mereka longgokan di suatu tempat (atas pasir). Tiba-tiba ada seseorang (orang tempatan) datang menegur dan bersembang-sembang. Entah macam mana bila sahabat kita seorang ni pusing tengok sebahagian beg dah hilang!

Moral: Penjenayah bergerak secara berkumpulan. Walaupun orang yang anda suspek tidak mengambilnya, mungkin ada rakan sejawatnya yang sedang bertugas. Awas dengan orang yang cuba bercakap-cakap dengan anda. Pastikan barang berharga tidak terlepas dari tangan anda walaupun sekejap.

KES KEDUA

Jenis: Kecurian beg tangan/passport
Lokasi: Amsterdam

Cerita: Sepasang suami isteri mengikut rombongan syarikat dari Malaysia (trip untuk pekerja-pekerja bercuti). Semasa makan di sebuah restoran, kelihatan ada orang tempatan (orang luar) masuk ke dalam restoran sedang ahli rombongan (ramai, dalam 3-4 buah bas) sedang makan. Orang tempatan tersebut datang dan buat-buat barangnya jatuh. Kemudian tunduk untuk mengambil barang tersebut. Akhirnya, pasangan suami isteri itu sedar beg tangan sudah hilang tatkala sedang menikmati makanan! Yang peliknya, orang tempatan tu dah cuba untuk buat trick yang sama (pura-pura jatuh barang) dengan orang lain dalam rombongan yang sama tetapi gagal.

Moral: Jangan biarkan passport duduk merata, lebih afdal diletakkan di badan (saku, beg atas riba etc)

KES KETIGA

Jenis: Pukau
Lokasi: Encik Sepanyol

Cerita: Sedang berjalan-jalan ramai di sebuah bandar, tengok-tengok ada seorang ahli rombongan yang sedang keluarkan duit dari dompet untuk beri kepada orang sebarangan di tengah jalan. Seorang sahabat lain menepuk belakangnya "Wei ko pesal?" dan barulah macam dia sedar "Eh, apasal aku ni?"

Moral: Di Spain kata orang, kalau orang cuba menghulurkan sejenis bunga/daun jangan ambil kerana dikhuatiri itu adalah sejenis pukau (saya pernah jumpa orang ini sekali sahaja semasa melawat ke Spain). Tapi curious juga, kalau kita dah tau itu pukau dan mengambil pemberian itu, apa akan terjadi? Wallahualam.

KES KEEMPAT

Jenis: Curi cara licik
Lokasi: Dalam tren, perjalanan Brussel-Amsterdam

Cerita: 3 orang sahabat - dua orang tertidur dan seorang berjaga. Tiba di sebuah perhentian (orang ramai tengah queue dalam tren untuk keluar), tiba-tiba ada seseorang buat-buat duit syiling terjatuh bawah seat. Dan sahabat yang berjaga pun tunduk badannya untuk mengambil duit tersebut di bawah tempat duduk dan berikan syiling itu kepada orang berkenaan. Dalam masa sekejap sahabat ini berasa sesuatu yang pelik dan cek passport dan walletnya semua ada. Bila tengok sekeliling, beg sahabatnya yang sedang tidur telah lesap (beg itu diletakkan di ruang atas kepala dan sedikit tersorok di penjuru). Barang hilang adalah lens kamera, kamera, passport dan sebagainya

Moral: Kalau orang berlaku 'fishy' dengan anda, bukan bermakna dia mahu mencuri barang ada tapi mungkin juga barangan kawan-kawan dalam rombongan anda. Lagi satu, jangan letak barang-barang berharga di ruangan barangan tren. Sebaliknya simpan pada diri sendiri. Dikatakan juga, kes ini berlaku kerana beg kamera yang digunakan sahabat itu agak mahal/branded dan pencuri senang untuk detect lalu berkata "ya, beg ini confirm beg kamera. kitaorang tau sebab kitaorang dah lama mencuri kowt."

KES KELIMA

Jenis: Silap mata pukau?
Lokasi: Paris

Cerita: Sedang dalam Metro/LRT, ada seorang yang tidak dikenali berkelakuan pelik di tempat duduk bersebelahan: dia meletakkan telefon bimbit di atas lantai dan seolah-olah sedang buat jampi serapah. Dia meminta salah seorang daripada ahli rombongan untuk tengok skrin telefon bimbitnya. Namun, ahli rombongan itu semuanya terus beredar  (keluar dari Metro/LRT di hentian seterusnya) dan alhamdulilah tiada apa yang buruk terjadi.

Moral: Berjaga-jaga dengan orang yang berkelakuan pelik.
Tambahan: Maybe dia nak tunjuk game dia tengah main kot? huhu.

KES KEENAM

Jenis: Wei mai balik!
Lokasi: Itali

Cerita: Seorang sahabat sedang melepak-lepak dan ada orang offer untuk tolong ambil gambarnya. Dia pun memberi kamera mahalnya kepada orang tersebut. Kemudian bila mintak semula kamera tu, orang tersebut meminta wang daripada sahabat kita ini (ketika itu dia tahun pertama). Bukan sedikit tapi 20 Euro! Mujur ada senior datang masuk campur dan dapat diambil semula kamera berkenaan.

Moral: Jangan lepaskan barangan berharga anda sesuka hati! 

Setakat itu sahaja kes-kes yang saya dapat ingat buat masa ini.

Pesanan-pesanan lazim:

1) Passport kalau boleh letakkan di badan dan jangan letak dalam beg sebab anda susah nak detect kalau hilang atau ada orang nak ambil. Mungkin boleh beli jaket yang ada poket banyak. Kalau bapa saya, selalunya dia pakai seluar yang banyak poket jadi boleh simpan di situ. (Doremon ada satu poket saja tetapi masih selamat?)

2) Duit jangan letak sekali longgok - pecahkan ke banyak tempat. Semasa saya fly dulu diberi 2000 pound CASH oleh MARA - cara saya membawanya adalah 500 dalam wallet, 500 dalam beg laptop, 500 dalam poket seluar dan sebagainya.

3) Kalau jalan beramai-ramai, jangan tengok hanya diri sendiri sebaliknya tolong tegur dan tengok sahabat-sahabat yang lain.

4) Jangan letak semua benda penting dalam satu beg atau bekas - (kalau hilang, hilang semua!): mungkin boleh pecah-pecahkan contohnya kamera gantung di leher, wallet di saku tetapi tiada wang tunai, wang tunai di dalam stokin (kurang bersih?) dan sebagainya.

5) Keadaan rasa 'selamat' di bumi UK berlainan dengan negara Eropah lain. Ramai orang cakap kalau berjalan-jalan di UK rasa lebih selamat dan tenang berbanding tempat-tempat lain. Saya setuju, to certain extent.

Itu sahaja pesanan saya.

Sebagai pembaca, anda boleh:

1) Tuliskan kisah-kisah anda/kawan anda di ruang komen untuk pedoman semua yang membaca. Komen dan kisah anda mungkin dapat menyelamatkan ssahabat lain yang ditimpa kecelekaan

2) Share note ini (Facebook) supaya ramai dapat membaca tulisan ini dan juga komen anda di bawah.

3) Doakan keselamatan kita bersama dalam mengembara.

Harapan Saya

Semoga hal ini dapat disampaikan kepada semua sahabat kita di bumi UK dan Ireland, terutamanya yang tahun pertama dan belum ada banyak pengalaman melancong ke negara Eropah yang lain. Jangan kita menjadi mangsa 'pelingkup cuti'!

InsyaAllah, semoga bermanfaat. Jangan lupa menikmati cuti anda dengan banyak bermuhasabah dan melihat kebesaran alam.

Selamat bercuti Easter!

Shahkang
Manchester, UK
16 March 2012

Sunday, 11 March 2012

Ke Arah Kesyumulan Islam – Sejauh Mana Langkah Kita?

Berikut merupakan teks syarahan yang telah digunakan oleh junior say), saudari Noraniza Jonin dalam pertandingan syarahan sempena minggu Maximising Islam anjuran MCOT yang sedang berlangsung. Alhamdulilah, 'student'saya ini mendapat tempat pertama.

Idea yang digarapkan dalam teks ini sebenarnya mahu ditulis dengan lebih panjang dan terperinci. Mungkin insyaAllah nanti akan dikembangkan menjadi artikel yang lebih menarik di samping contoh-contoh tauladan yang menjentik perasaan.


Mungkin apabila saudari Noraniza menyampaikan syarahan, ada point yang ditambah atau yang tidak disebut (Wallahualam, sebab saya tak sempat lihat dia bersyarah kerana ke Birmingham menonton All-England).

Apa-apa pun, tahniah kepadanya dan sahabat-sahabat lain yang menang mahupun tidak.

p/s: Memang rasa macams seorang guru BM, menulis teks syarahan untuk seorang pelajar yang memasuki pertandingan. Cikgu tak dapat sertai pertandingan sebab sibuk dengan mesyuarat panitia pemeriksa SPM.


TEKS SYARAHAN

Ke Arah Kesyumulan Islam – Sejauh Mana Langkah Kita?
Oleh: Shahkang
Disyarahkan oleh: Noraniza Jonin

Yang dihormati tuan pengerusi majlis, pihak hakim yang arif, para peserta pertandingan syarahan MAXIS yang bijaksana dan penonton sekalian. Berpandukan tema pertandingan kali ini iaitu – Islam Agama yang Syumul, saya akan mengecilkan skop perbincangan kepada menganalisa dan memuhasabah semula gerakan kita dalam mengamalkan konsep syumul dalam Islam. Akan saya cuba padatkan idea-idea menerusi syarahan singkat ini yang bertajuk ’Ke Arah Kesyumulan Islam – Sejauh Mana Langkah Kita?

’Hadirin yang saya hormati sekalian,

Sebelum saya meneruskan kata dengan lebih lanjut, elok jika saya mendefinisikan syumul terlebih dahulu. Apakah yang sebenarnya yang dimaksudkan dengan syumul? Banyak, cukup banyak kita melihat istilah ini di dada akhbar, majalah mahupun meniti di bibir para agamawan. Namun sejauh mana pengetahuan kita akan maksudnya? Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, syumul merupakan perkataan dalam bahasa Arab yang membawa maksud, bersifat menyeluruh dan sempurna.

Menerusi kitab suci Al-Quran, konsep syumul dijelaskan lewat surah Al-Baqarah ayat ke-208, yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah Islam secara kaffah (menyeluruh) dan janganlah kamu mengikut jejak syaitan, sesungguhnya (syaitan itu) adalah musuh yang jelas bagi kamu”
Ibnu Kasir pula menafsir ayat ini sebagai seruan Allah SWT kepada hambaNya untuk mengambil seluruh ajaran dan syariat. Hal ini membawa erti untuk meninggalkan larangan dan melaksanakan perintah bersesuaian dengan kemampuan hambaNya.

Hadirin sekalian,

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya mengkelaskan penanda aras untuk umat Islam mencapai kecemerlangan kepada empat ciri: akidah, akhlak, muamalah dan ibadah. Lantaran itu, umat Islam yang diklasifikasikan sebagai berjaya haruslah punya skor tinggi dalam keempat-empat ciri tanpa ada tempang dalam mana-mana bahagian. Seseorang umat Islam itu tidak akan dikatakan cemerlang jika hanya punya akidah yang sejahtera namun gagal dari segi akhlak. Atau maju dalam bermuamalah sedangkan akidahnya terpesong sejauh-jauhnya. Tidak, itu bukanlah konsep syumul yang kita idam-idamkan.

Menerusi analisis yang dijalankan oleh Michael Hart iaitu seorang ahli astrofizik dari Amerika Syarikat, mengapakah junjungan mulia Rasulullah SAW diletakkan sebagai orang yang pertama dalam senarai 100 orang paling berpengaruh dalam sejarah? Adakah disebabkan akidahnya pada Tuhan yang Esa? Mana mungkin seorang bukan Islam seperti Michael akan mengagungkan Rasulullah hanya kerana akidahnya? Apakah disebabkan keupayaan Rasulullah memimpin Madinah sebagai negara berperlembagaan pertama di dunia? Jawapannya adalah keunggulan semua keempat-empat ciri yang disebut oleh Dr Juanda Jaya yakni akidah, akhlak, muamalah dan ibadah yang ada pada Rasulullah Keseimbangan ukhrawi dan dunia inilah yang menonjolkan Rasulullah di mata orang bukan beragama Islam seterusnya di pentas dunia. Hal ini disebut sendiri oleh Michael dalam tulisannya:

”Tindakan saya memilih Muhammad sebagai orang paling berpengaruh dalam sejarah mungkin mengejutkan dan mengundang tanda tanya semua pihak. Namun hanya dia seorang dalam sejarah yang mampu berjaya dalam kedua-dua hal keagamaan dan sekular.”

Jelas, Rasulullah punya kesemua ciri-ciri Islam dengan lengkap. Itulah sebenar-benarnya konsep syumul yang mahu kita kecapi!

Hadirin yang saya kasihi sekalian,

Ramai dari kita terkesan dengan kejayaan Rasulullan dan umat Islam terdahulu. Contohnya kejayaan Muhammad Al-Fateh membuka Kota Constantinople seawal usia 23 tahun. Kita turut mendabik dada dengan wujudnya Cordoba sebagai pusat khazanah ilmu yang mahsyur pada kurun ke-10 Masihi. Kita mencanangkan kejayaan ilmuwan Andalus dan Baghdad dalam pelbagai bidang seperti falsafah dan muzik. Sehinggakan kehebatan ini menjadi pencetus kepada barat untuk memulakan zaman Renaissance. Bangga, cukup membanggakan kita!

Lantas, kegemilangan sejarah berkenaan membuatkan anak muda Islam dewasa ini berazam mahu mengulanginya. Anak muda kini mahu menguasai seluruh buana sebagaimana umat Islam terdahulu menguasai sebanyak 2/3 dunia.

Hadirin sekalian, ideal sekali cita-cita kita, bukan?

Realitinya sebagai seorang pelajar , bagaimana? Apakah kerajinan kita menelaah helaian Al-Quran sama tahap dengan kerajinan kita menghadiri kelas-kelas akademik? Adakah kita menepati waktu hanya ketika ke kelas namun dalam masa solat kita berlengah-lengah? Tepuk dada, tanyalah iman! Ramai dari kita terperangkap dengan satu dua hal remeh yang pada akhirnya mencacatkan Islam. Contoh mudah sebagai seorang pelajar luar negara adalah kelakuan kita di dalam kelas. Kita sering sahaja bersemangat untuk menghadiri halaqah ilmu agama namun lesu di medan pertempuran akademik. Hal ini menyebabkan ramai teman sekuliah bukan Islam memandang serong kepada kita. Akhirnya, bukan sekadar nama kita yang terpalit lumpur malah agama dan kepercayaan jika turut terkena kotorannya!

Memang patutlah ada sebahagian saudara baru yang memeluk Islam yang berkata ”Jangan kenali Islam dengan mengenali perwatakan umat Islam”. Maksudnya, kita penuh cacat cela yang telah merosakkan nama baik ajaran Islam yang syumul dan lengkap. Sesuatu yang amat menduka citakan buat kita yang kononnya mengaku mengamalkan Islam dengan sempurna! Kita gagal memahami bahawa Allah menjadi CEO kita bukan sahaja di medan ibadat khusus seperti solat, puasa dan mempelajari fardhu ain malah Allah menjadi CEO kepada kita di semua aspek – menghadiri kuliah, menyiapkan tugasan dan sebagainya.

Hadirin sekalian,

Natijahnya, saya ingin menyeru hadirin sekalian dan saya sendiri untuk berfikir semula akan langkah kita dalam mengejar status syumul dalam Islam. Kita masih merangkak? Atau terhenti sementara? Atau langsung memecut ke hadapan? Tidak usah kita menoleh ke kiri dan kanan mencari silap orang lain. Bermuhasabahlah dan tanyakan satu persoalan ini setiap detik dalam kehidupan kita: apakah aku sebenar-benarnya sedang mengamalkan Islam yang syumul? Atau akulah punca kesucian Islam dicemar atas kedaifan aku dalam mengamalkan Islam? Kesimbangan dunia dan akhirat harus kita buru. Konsep wasatiah harus sama dijunjung agar tidak menjadikan kita condong ke mana-mana ciri sehingga mencacatkan ciri lain yang sama tahap pentingnya.

Wallahualam. Sesusungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Adil. Saya akhiri syarahan saya dengan jutaan terima kasih atas perhatian kalian. Semoga bertemu lagi di lain waktu.

Friday, 17 February 2012

Mengejar Makna Ideal - Sempena NISE

Artikel ini ditulis bersempena dengan permintaan urusetia program Nisa’ Nasheed Extravaganza  (NISE) yang dianjurkan oleh LUMSOC, Leeds. Program NISE merupakan pertandingan nasyid antara Muslimah dan pada tahun ini temanya adalah ‘Ideal Muslimah Empowering Ummah’. Namun artikel ini ditulis untuk kesesuaian kedua-dua gender.Semoga bermanfaat insyaAllah. Saya banyak mencedok idea daripada Ustaz Pahrol Mohamad Juoi lewat bukunya Mukmin Profesional.

Sekadar cetusan pendek.


Mengejar Makna Ideal
Oleh Shahkang
http://www.shahkang.com

APAKAH yang dimaksudkan dengan ideal? Ideal menurut Kamus Dewan edisi keempat membawa maksud : (dianggap) sempurna atau paling sesuai, sesuai dengan yang dicita-citakan. Dengan erti kata lain, menjadi seorang Muslim dan Muslimah yang ideal ditafsir penulis sebagai menjadi seorang hamba Allah yang bertakwa dan sempurna dalam menjalani ibadat sepanjang kehidupan.

Maksud ideal yang tidak khusus mengharuskan kita untuk berhati-hati dalam mengupasnya. Seribu persoalan boleh ditanya semula kepada diri sendiri – ideal ini perlu dilihat dari sudut mana? Apakah kriteria-kriteria yang menjadi penentu kejayaan ’pangkat’ ideal tersebut?

Pastinya ideal tersebut mahu tidak mahu akan disandarkan pada ketaatan kepada Allah SWT. Hal ini kerana, Allah SWT berfirman dalam surah Al Zariyat ayat ke-52 berkenaan tujuan manusia dan jin diciptakan di muka bumi:

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku. (Surah Al-Zariyat ayat ke-56)

Pahrol Mohamad Juoi menjelaskan bahawa ibadat terbahagi kepada asas, sunat dan umum:

Ibadat asas ditafsir sebagai mempelajari, memahami serta meyakini dan mengamalkan Rukun Iman yang enam dan Rukun Islam yang lima manakala ibadat sunat adalah mengerjakan amalan-amalan sunat seperti bersolat sunat, berpuasa sunat dan sebagainya. Ibadah umum pula ialah seluruh perlakuan, tindakan dan aktiviti-aktiviti selain daripada ibadah asas dan sunat atau dengan kata lain fardu kifayah. (Pahrol Mohamad Juoi, 2010: 164-166)

Justeru, ideal yang mahu dikecapi tidak sepatutnya dikaburi dengan satu bahagian ibadat. Sebaliknya ideal seorang umat Islam adalah apabila dia berjaya melaksanakan ketiga-tiga elemen tersebut tanpa ada pengabaian terhadap mana-mana satu bahagian pun.

Mungkin ramai secara tidak sengaja telah mengecilkan skop ideal tersebut kepada hanya satu bahagian semata-mata. Atau dengan erti kata lain, memecahkan kesatuan ideal tersebut kepada set-set tertentu dan memilih bahagian mana yang bersesuaian. Yang giat beribadat asas dan sunat akan terus berkampung di masjid seharian semalaman manakala yang ghairah berjuang di pejabat dan pusat pengajian pula akan menghambakan dirinya pada urusan duniawi sehingga mengabaikan ibadat yang lain. Masing-masing kemudiannya berbangga – ya, saya sudah bersungguh-sungguh beribadah dan sememangnya untuk agama Allah!

Adakah begitu Islam yang ideal? Adakah Islam yang diyakini akan menguasai dunia dan dikatakan rahmat kepada seluruh alam membangunkan umatnya secara tidak seimbang? Pastinya tidak.

Seharusnya dalam usaha melangkah setapak ke tahap ideal, bukan satu faktor yang perlu diberi tumpuan. Bukan sekadar duniawi. Bukan sekadar ukhrawi. Umat Islam yang benar-benar mahu cemerlang dan berhajat menjadi ’sempurna’ harus bijak mencari keseimbangan. Tidak bermakna mengabaikan mana-mana satu namun yang penting tidak membiarkan mana-mana aspek untuk ketinggalan terlalu jauh ke belakang. Jika demikian yang berlaku, makna ideal tersebut tetap juga tercapai namun tidak dalam konteks Islam.

Hal ini dapat dianalogikan seperti seorang pelajar yang mendapat keputusan sangat cemerlang dalam subjek tertentu dan lingkup terus dalam yang lain (untuk kes sistem pembelajaran di Malaysia). Misalnya mendapat markah 90 untuk Bahasa Melayu namun mendapat 30 dalam Pendidikan Agama Islam dan 40 dalam Matematik. Jelas, ketidakseimbangan sebegitu tidak membawa pelajar berkenaan ke mana-mana. Ya, anda mungkin ideal dalam pembelajaran Bahasa Melayu kerana anda meletakkan usaha sepenuhnya namun kecatatan yang tercalit pada subjek lain secara tidak langsung meruntuhkan segala-galanya. Akhirnya, siapa yang sebenarnya rugi?

Penulis bukan bermaksud untuk mensederhanakan usaha murni yang sebelum ini menyala-nyala api semangatnya. Namun dalam kondisi yang terhad, keutamaan harus dipandu dengan cermat agar tidak ada hal-hal lain (yang sama tahap pentingnya) terbabas sedangkan hal lain maju tanpa sebarang halangan.

Jika diaplikasikan analogi ini dalam kehidupan seharian sebagai seorang Muslim, kejadian ini seperti kita hanya berusaha mendirikan solat siang dan malam namun pada masa yang sama, kita singkirkan terus akhlak-akhlak terpuji yang dianjurkan Rasulullah SAW. Solat fardhu berjemaah dan sunat merupakan ibadah yang dituntut namun bukankah masih ada elemen mustahak lain perlu dipupuk dan diberi perhatian? Adakah umat ideal akan tercapai jika kita berkalutan solat jemaah di masjid sedangkan bila tiba musim peperiksaan kita lesu dan tidak bermaya di hadapan nota-nota kuliah? Atau kita tekun menelaah pelajaran tetapi sedikit pun tidak memikirkan hal masyarakat sekeliling. Pastinya, situasi itu bukan ideal malah menimbulkan fitnah lantas merencatkan istilah kecemerlangan yang sewajarnya tersemat dalam dada umat Islam.

Pahrol Mohamad Juoi turut menjelaskan bahawa umat Islam adalah sinonim dengan istilah kecemerlangan:

Umat Islam sangat sinonim dengan kecemerlangan. Secara langsung, tidak kurang sepuluh kali dalam sehari kita diajak kepada kecemerlangan, yakni menerusi kalimah “hayya alal falah” (mari menuju kemenangan) dalam seruan azan iqamat. (Pahrol Mohamad Juoi, 2010: 46)

Lantaran itu, istilah ideal harus difikirkan dan diamati penuh teliti oleh sekalian umat Islam yang mahukan kecemerlangan di dunia mahupun di akhirat. Jangan kita terperangkap dalam kepompong ‘selesa’ yang akhirnya merugikan kita apabila berhadapan dengan Allah SWT kelak. Minda harus dibuka seluas-luasnya jika kita berazam mahu menjadi umat yang ideal di pentas dunia.

Ditulis 27 Januari 2012

RUJUKAN
Juoi, P. M. (2010). Mukmin Profesional: Celik Mata Hati. Petaling jaya: Fitrah Perkasa.

Maklumat lanjut NISE: 
http://lumsoc.com/nise/

Sumber gambar:  
http://intimagazine.files.wordpress.com/2010/10/muslimah.jpg